
SARATOK: Sebanyak tujuh projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dengan nilai keseluruhan melebihi RM1 juta telah diluluskan untuk pelaksanaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, projek-projek berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta yang disediakan di bawah BDDA bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.
Menurut beliau, semalam Pusat Khidmat DUN Krian bersama Majlis Daerah Saratok telah mengadakan siasatan tapak bagi pelaksanaan beberapa projek BDDA yang telah diluluskan di sekitar kawasan konstituensi itu.

Antara projek berkenaan termasuk naik taraf prasarana Rumah Marlis di Batu 4 Saratok, naik taraf prasarana dan tempat parkir Rumah Jembu di Rantau Sukat, naik taraf prasarana Rumah Bundak di Sungai Anak serta kerja-kerja mendalam, meluas sungai dan pembinaan dermaga di Rumah Edmund Daji, Engkudu.
Selain itu, projek menaik taraf prasarana Rumah Panjang Salat di Peligong Baru turut disenaraikan antara projek yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan berkenaan.
Friday berkata, pelaksanaan projek-projek ini dijangka memberi impak positif terhadap kehidupan penduduk luar bandar melalui peningkatan akses kepada kemudahan asas, infrastruktur yang lebih baik serta peluang ekonomi setempat.
Lawatan siasatan tapak tersebut turut dihadiri oleh James Jimbun dari Pusat Khidmat DUN Krian mewakili ADUN Krian, Suriati David Thomas dan Gon Ambas dari Majlis Daerah Saratok sebagai agensi pelaksana, serta wakil daripada BDDA sebagai Urusetia Projek.
Oleh Adi Safarman