
SARIKEI: Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pelbagai dasar dan inisiatif.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata ia termasuklah akses kepada pendidikan, pekerjaan, kemudahan awam dan peluang keusahawanan.
“Namun, usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan masyarakat. Kita semua mempunyai peranan agar golongan OKU tidak terpinggir dan terabai dalam arus pembangunan negara.
“Kita ambil contoh yang paling dekat iaitu Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
“Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan peruntukan yang mencecah jutaan ringgit setiap tahun untuk program PPDK di seluruh negara.
“Program ini adalah program berasaskan komuniti di mana sukarelawan dari komuniti setempat telah memainkan peranan yang penting sebagai ahli jawatankuasa PPDK untuk menggerakkan pengoperasian PPDK,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Penghulu William Tandang Ujang di majlis penutupan sambutan Hari OKU peringkat Bahagian Sarikei, bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Oleh itu, katanya tanpa kerjasama antara kerajaan, agensi kerajaan dan komuniti setempat, program PPDK tidak mungkin dapat dilaksanakan.
“Dengan kesempatan ini, saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada sukarelawan komuniti setempat di Bahagian Sarikei yang telah bergiat aktif dengan menyumbangkan tenaga, idea dan masa untuk memastikan PPDK sentiasa aktif dan sedia berkhidmat untuk OKU.
“Saya tumpang gembira dan bersyukur kerana Bahagian Sarikei mempunyai empat PPDK, masing-masing PPDK di setiap daerah.
“Semua kemudahan yang disediakan di PPDK adalah percuma. Kewujudan PPDK ini telah memudahkan akses pemulihan OKU oleh penjaga untuk menghantar anak-anak OKU mendapatkan pemulihan walaupun di kawasan pedalaman,” katanya.
Tambahnya, setiap OKU mempunyai keistimewaan dan kekuatan yang luar biasa.
“Justeru itu, OKU tidak seharusnya mudah putus asa dalam mengerjakan matlamat dan kejayaan dalam kehidupan.
“Ramai antara mereka berjaya dalam pelbagai bidang seperti sukan, seni, pendidikan dan keusahawanan.
“Sebagai contoh terdekat, saudara Bonnie Bunyau Gustin nama yang tidak asing lagi di pentas dunia,” katanya.
Oleh Earl Anek