Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Kolej Universiti i-CATS kini komponen utama lahir modal insan Sarawak
  • PENDIDIKAN

Kolej Universiti i-CATS kini komponen utama lahir modal insan Sarawak

Utusan Sarawak 14 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bergambar bersama graduan selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti i-CATS ke-27 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange (HEEC), hari ini. Foto Adele Rissa dan Shikin Mahmud

KUCHING: Kolej Universiti i-CATS kini bukan lagi institusi kecil yang berperanan menjana ilmu semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi salah satu komponen utama dalam ekosistem pembangunan modal insan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, di institusi itu bakat anak muda Sarawak dipupuk bagi melahirkan tenaga profesional yang berupaya mengisi sektor strategik negeri.

Menurut beliau, Kolej Universiti i-CATS kini memainkan peranan penting dalam mempersiapkan graduan untuk sektor utama seperti aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, automasi, hospitaliti, teknologi pertanian dan perkhidmatan profesional.

“Kekuatan Sarawak bukan hanya terletak pada sumbernya, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk berdikari dalam ilmu dan kepakaran sendiri. Sarawak bukan sekadar pengguna pengetahuan, tetapi juga pengeluar kepakaran,” katanya.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan perasmian Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti i-CATS ke-27 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange (HEEC), hari ini. Foto Adele Rissa dan Shikin Mahmud

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti i-CATS ke-27 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange (HEEC) di sini hari ini.

Premier Sarawak yang turut merangkap Kaunselor Kolej Universiti i-Cats menegaskan bahawa istiadat konvokesyen bukan sekadar acara formal, sebaliknya merupakan simbol ketekunan dan kesedaran terhadap masa depan.

“Kejayaan bukan bermula pada hari kita diraikan, tetapi pada hari kita memilih untuk berusaha. Istiadat ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada perjalanan sebenar,” tegasnya.

Beliau turut menggesa agar graduan menggunakan ilmu dengan penuh kebijaksanaan, mempertahankan maruah diri dan keluarga, serta menjadi pemimpin berkarakter yang membawa perubahan positif.

Seramai 465 graduan menerima skrol masing-masing melibatkan pelbagai peringkat pengajian daripada diploma hingga ke ijazah sarjana.

Daripada jumlah itu, 295 merupakan penerima Diploma dan Diploma Lanjutan, 61 graduan Ijazah Sarjana Muda, manakala 109 merupakan penerima Ijazah Sarjana.

Antara program yang terlibat termasuk Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (109 graduan), Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Kepujian), dan Ijazah Sarjana Muda Pelancongan dan Hospitaliti (Kepujian).

Bagi peringkat diploma pula, antara program yang mencatatkan bilangan graduan tertinggi ialah Diploma Pentadbiran Perniagaan (71 graduan), Diploma Seni Kulinari (52 graduan), Diploma Kejuruteraan Perisian (25 graduan), Diploma Pengurusan Perhotelan (18 graduan), serta Diploma Pengurusan Perladangan (31 graduan).

Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalannya, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis serta tetamu kehormat lain.

Oleh Adele Rissa dan Shikin Mahmud

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Kaedah ‘co-teaching’ dikhuatiri tambah beban guru
Next: Konvokesyen bukan penamat, graduan perlu pacu transformasi Sarawak 2030

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.