
LIMBANG: Persatuan Hakka Bahagian Limbang yang ditubuhkan lebih 50 tahun lepas mendekati masyarakat termasuk generasi belia yang merupakan pewaris masa depan.
Pengerusinya Jong Ka Ling berkata selain kerajaan, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu menjaga kepentingan belia, memahami kehendak mereka dengan memberi bimbingan supaya generasi pelapis ini dapat menjadi pemimpin yang baik pada masa depan.
“Melalui aktiviti yang kita jalankan, kita ingin menarik generasi belia untuk aktif dalam persatuan kerana mereka tonggak masa depan negara,” katanya kepada media pada Larian Santai Hakka Power 2025 di Dewan Suarah Limbang hari ini.
Turut sama ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Hakka Bahagian Limbang, Kapitan Kong Foh Liem.
Menurut Jong lagi, pihaknya meraikan sambutan ulang tahun ke-50 persatuan tahun ini.
Katanya, sambutan itu juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan semangat kerjasama dalam kalangan ahli untuk terus berjuang demi matlamat persatuan di masa hadapan.
Seramai 200 peserta termasuk golongan belia menyertai larian tersebut.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk program derma darah, pertandingan mewarna dan aktiviti lain.
Oleh Adeng Edrus