
KRIAN: Program Transformasi Luar Bandar (RTP) terus menjadi pemangkin pembangunan komuniti apabila pelbagai projek baharu dan naik taraf sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan rakyat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, pelaksanaan projek-projek RTP membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan penduduk di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan singkat ke beberapa tapak projek RTP di kawasan Mudong dan Tapang Ujan, bagi meninjau kemajuan kerja serta memastikan projek berjalan mengikut jadual.

Antara lokasi yang dilawati ialah tapak projek baik pulih enam bangunan kuarters di Sekolah Kebangsaan (SK) Mudong dengan peruntukan RM200,000 yang dijangka memberi manfaat besar kepada guru-guru yang bertugas di sekolah tersebut.
Selain itu, Friday turut meninjau projek pembinaan baharu ‘sengkuap’ atau ruang komuniti di Rumah Nuing, Tapang Ujan Ulu, yang bakal memberikan keselesaan kepada penduduk khususnya semasa penganjuran program kemasyarakatan dan adat tradisi.
Pada sesi lawatannya, beliau juga sempat singgah di Rumah Mathew Guang, Mudong untuk beramah mesra serta mendengar pandangan dan keperluan penduduk rumah panjang berkenaan.
Friday menegaskan bahawa setiap projek RTP bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mengubah landskap luar bandar secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Oleh Adi Safarman