
LUBOK ANTU: Seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lubok Antu dalam satu operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah di Wong Panjai, semalam.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, tangkapan dibuat hasil risikan dan maklumat awam berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan tersebut.
Hasil pemeriksaan dan ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika disabit kesalahan.
Pihak polis menegaskan komitmen berterusan dalam melaksanakan Op Tapis Khas bagi mengekang penularan aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah itu.
Orang ramai turut digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah dan jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Lubok Antu sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman