
MIRI: Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tellingai telah dicalonkan untuk Penjurian Anugerah Sekolah Cemerlang Sudut Kesihatan dan Dokumentasi Kelab Doktor Muda semalam.
Kelab Doktor Muda sekolah itu, yang diketuai oleh Cikgu Nur Syaheera Saopi, menjadi wakil tunggal bagi Bahagian Miri dan turut tersenarai sebagai antara tujuh sekolah rendah terpilih di peringkat Sarawak.


Penjurian berkenaan disertai Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri, Siti Suryani Jarmi serta Pegawai Pendidikan Kesihatan, Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan, Christy AAlexander yang hadir sebagai juri penilaian.
Guru Besar SK Batu Tellingai, Bakir Jatan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak juri serta semua warga sekolah atas kerjasama dan sokongan yang diberikan.
“Semoga usaha ini membuahkan hasil dan menjadi inspirasi untuk terus memperkasakan program kesihatan di sekolah,” katanya di sini.
Oleh Liong Chai Ling