Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Ahli akademik kelahiran Malaysia dilantik Ketua Pegawai Perubatan, Saintifik pertama MHRA UK
  • PENDIDIKAN

Ahli akademik kelahiran Malaysia dilantik Ketua Pegawai Perubatan, Saintifik pertama MHRA UK

Utusan Sarawak 7 hours ago
PROFESOR Jacob George ahli akademik kelahiran Malaysia mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Perubatan dan Saintifik pertama bagi Agensi Kawal Selia Ubat-ubatan dan Produk Penjagaan Kesihatan (MHRA) di United Kingdom (UK).

KUALA LUMPUR: Seorang ahli akademik kelahiran Malaysia mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Perubatan dan Saintifik pertama bagi Agensi Kawal Selia Ubat-ubatan dan Produk Penjagaan Kesihatan (MHRA) di United Kingdom (UK).

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di ladang Bukit Rajah, Meru, Klang, Selangor, Profesor Jacob George membina kerjaya antarabangsa dalam bidang perubatan kardiovaskular yang akhirnya membawa kepada pelantikan beliau ke satu daripada jawatan kesihatan awam paling berpengaruh di UK.

“Saya amat berbesar hati dengan pelantikan ini. Ia turut mencerminkan kekuatan komuniti ekspatriat Malaysia di United Kingdom dan di luar negara,” katanya kepada Bernama.

Profesor berusia 50 tahun itu, yang berkelayakan dalam bidang Farmakologi Klinikal dan Perubatan Dalaman Am serta merupakan Pakar Hipertensi Eropah bertauliah, berkata beliau gembira menyertai MHRA pada waktu penting bagi agensi itu serta sektor sains hayat UK.

“MHRA mempunyai pengaruh langsung terhadap keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan, vaksin dan teknologi kesihatan yang digunakan setiap hari oleh berjuta-juta orang di UK.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan rakan sekerja untuk memberi sumbangan besar kepada penjagaan pesakit berkualiti tinggi dan inovasi sains hayat,” katanya.

Dalam satu kenyataan, MHRA memaklumkan George akan menyertai agensi itu pada 5 Jan 2026 dan akan berkhidmat di pejabat MHRA di London serta kampus sainsnya di Hertfordshire sambil terus menetap di Scotland, sejajar dengan komitmen MHRA untuk menjadi badan kawal selia yang aktif di keempat-empat wilayah UK.

Mengenang zaman kanak-kanaknya di Malaysia, George berkata bapanya bekerja di ladang Sime Darby di Bukit Rajah manakala ibunya merupakan ahli fisioterapi di Hospital Universiti, Petaling Jaya.

“Saya menikmati zaman kanak-kanak yang cukup indah ketika tinggal di ladang dan mendapat asuhan terbaik daripada ibu bapa serta keluarga saya,” katanya.

Membesar di Klang, beliau bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan (2) Jalan Batu Tiga, Taman Eng Ann sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Menengah Anglo-Chinese (ACS) Klang.

“Saya amat berbangga menjadi anak Selangor!

“Guru-guru saya di sekolah sangat cemerlang dan apabila saya mengenang kembali selepas sekian lama, saya amat berterima kasih kepada mereka. Saya masih ingat Cikgu Subramaniam yang mengajar geografi di sekolah rendah sebagai antara guru yang luar biasa. Malah semua guru saya hebat,” katanya ketika ditanya mengenai kenangan semasa tinggal di Malaysia.

George berpindah ke London pada 1995.

Pada 2017, beliau dilantik oleh Menteri Kesihatan Malaysia sebagai Ahli Penasihat Pakar Antarabangsa kepada Panel Kajian Saintifik Malaysia bagi Ujian Klinikal Fasa I dan kekal memegang peranan tersebut hingga kini.

George kini berkhidmat sebagai Profesor Perubatan dan Terapeutik Kardiovaskular di University of Dundee Medical School serta merupakan pakar perunding perubatan dan ketua klinikal bagi Perkhidmatan Risiko Kardiovaskular di bawah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Tayside di UK.

Beliau mempunyai pengalaman luas di UK serta peringkat antarabangsa dan merupakan Felo Royal College of Physicians Edinburgh, European Society of Cardiology dan British Hypertension Society, selain Profesor Pelawat di Dnipro State Medical University, Ukraine. Beliau juga merupakan alumni Universiti Sheffield dan Universiti Dundee.

-Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Sarawak perlu lebih penyelidik pertanian untuk perkukuh hasil pengeluaran

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.