
BINTANGOR: Tebingan Sungai Batang Rajang dijangka menjadi tumpuan peminat memancing apabila Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menganjurkan pertandingan memancing sempena Pesta Meradong 2025 pada 9 November ini.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut bukan sekadar acara riadah, tetapi juga platform mempererat hubungan silaturahim antara masyarakat setempat dengan pihak bomba.
“Pertandingan ini diadakan bagi menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti sihat.
“Selain iti, ia juga bertujuan mengukuhkan hubungan mesra antara orang awam dan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pertandingan akan bermula pada 7.30 pagi hingga 11.30 pagi di tebingan Sungai Batang Rajang, dengan penyertaan dijangka melibatkan ramai kaki pancing dari sekitar Bintangor, Sarikei dan kawasan berhampiran.
“Pemenang utama bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM600 berserta trofi, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM350 dan RM200 berserta trofi.
“Hadiah turut disediakan bagi kategori keempat (RM150), kelima (RM100), tangkapan terpantas (RM100) dan tangkapan paling banyak (RM100),” katanya.
Tambahnya, borang penyertaan boleh diperoleh di BBP Bintangor, dengan yuran RM30 bagi satu joran dan tambahan RM20 bagi joran kedua (terhad satu tambahan sahaja).
“Kami mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk sama-sama memeriahkan Pesta Meradong 2025.
“Selain mengasah kemahiran memancing, program ini juga menggalakkan gaya hidup sihat.
“Untuk maklumat lanjut, peserta boleh menghubungi Haron Jenai di talian 013-8183969 atau Mohd Amirul Abdillah di talian 019-9011659,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek