KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching mengusulkan dua nama sebagai calon yang berpotensi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan pada pilihan raya negeri akan datang.
Pengerusinya, Datuk Lily Yong berkata, dua calon terbabit iaitu Bong Lian Huan dan Jong Yean Pin diperkenalkan kepada khalayak ramai semasa menyerahkan bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini semalam.
“Ini adalah permulaan walaupun persiapan telah berjalan sejak dua tahun lalu. Tetapi hari ini akan menjadi simbolik susulan penyerahan bendera GPS daripada SUPP cawangan Kuching,” katanya.
“Kami mahukan mereka mulai hari ini dan seterusnya berada di lapangan untuk melakukan segala-galanya sebagai calon yang berpotensi. Sudah tentu keputusan akhir masih bergantung kepada pucuk kepimpinan GPS,” ujarnya.
Ditanya banyak pihak dikhabarkan akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Padungan pada pilihan raya negeri akan datang, Yong berkata, seperti difahami, Padungan tidak pernah menjadi kerusi ‘tenang’, sama ada dalam pilihan raya negeri atau parlimen.
“Ia tidak pernah ‘sunyi’ dan dapat difahami kerana Padungan terletak di tengah-tengah ibu kota Sarawak dan tidak mengejutkan,” katanya
“Namun, itu tidak menjadi masalah dan saya tidak fikir kita harus leka walaupun Wong King Wei telah keluar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP),” katanya.
Beliau memberitahu, yang paling penting adalah bersikap ikhlas dalam menjalankan tugas dan bersuara untuk rakyat untuk memenangi hati mereka, katanya.
Tambah Yong, sebenarnya Bong Lian Huan dan Jong Yean Pin sudah mengelilingi Padungan pada hari-hari tertentu dalam seminggu membantu rakyat memohon Kenyalang Gold Card (KGC) dan menyelesaikan masalah mereka.
Oleh Cheryl Law