

KECOH…Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata dalam kejadian di Waterfront Miri, semalam.
MIRI: Hanya kerana insiden kecil langgar bahu, sekumpulan lelaki bertindak ganas hingga mencetuskan rusuhan bersenjata di kawasan Waterfront Miri.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 2.05 pagi semalam sebelum tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 1 minit.
Ketua Polis Daerah Miri,  Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki tempatan cedera sebelum menerima rawatan di Hospital  Miri dan kini dilaporkan stabil.
“Polis bertindak pantas dan berjaya menahan 11 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 25 tahun pada hari sama.
“Beberapa jenis senjata turut dirampas sebagai barang kes,” katanya dalam satu kenyataan media petang tadi.
Menurut Mohd Farhan, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 324 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata serta merusuh.
Mohd Farhan turut menasihatkan masyarakat agar tidak menularkan rakaman kejadian atau membuat spekulasi di media sosial yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi talian 085-433730 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Zulaikha Mohd Anuar di 010-7975445.