
KUCHING: Deretan skuter pelbagai warna membanjiri ibu kota semalam apabila lebih 100 scooterist berhimpun memeriahkan program santai Scooterist Super Sunday, mencetuskan suasana penuh ceria dan mesra komuniti di kalangan peminat dua roda.
Acara yang dianjurkan oleh Vario Sarawak dengan kerjasama Borneo Scoot Syndicate itu menjadi tumpuan peminat skuter dari pelbagai kawasan sekitar Kuching yang hadir bagi menyertai aktiviti santai hujung minggu berkonsepkan persahabatan dan kecintaan terhadap dunia skuter.

Program bermula sekitar 4.00 petang dengan ketibaan peserta dan tetamu, diikuti sesi ramah mesra serta perbincangan mengenai aktiviti komuniti dan pelan masa depan kelab-kelab skuter sekitar Kuching.
Menjelang 6.00 petang, peserta menyertai konvoi santai mengelilingi bandar Kuching bermula dari Civic Centre melalui Tebingan Sungai Kuching, Satok dan Petra Jaya sebelum berakhir di Santai Camp, ECO Mall Semariang.
Menurut salah seorang peserta, Melvin, acara seperti ini bukan sekadar hobi tetapi satu wadah mengeratkan silaturahim antara peminat skuter pelbagai generasi.
“Seronok tengok semua datang dengan gaya masing-masing, ada yang bawa skuter lama, ada yang baru tapi semangatnya sama, persaudaraan itu yang paling mahal,” katanya.

Seorang lagi peserta, Ivan Deedee menyifatkan Scooterist Super Sunday sebagai ruang untuk berkongsi minat dan menambah kenalan baharu.
“Bagi saya, ini lebih daripada sekadar konvoi, ia cara kami meraikan gaya hidup dan komuniti yang sentiasa positif,” ujarnya dengan senyuman.

Acara ini bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama peminat dan kelab skuter, malah menjadi platform perkongsian idea serta perancangan aktiviti bermotor tempatan yang lebih tersusun.
Penganjur berharap penganjuran seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi merancakkan lagi aktiviti komuniti tempatan sekali gus menjadikan Kuching sebagai pusat tumpuan scooterist di Bumi Kenyalang.
Oleh Norman B