PENYERANG veteran Vedad Ibisevic menyertai Schalke dengan perpindahan percuma dari Hertha Berlin semalam dan kemudian mengumumkan akan menyumbangkan gajinya kepada badan amal.
Penyerang Bosnia dan Herzegovina berusia 36 tahun itu menandatangani kontrak satu tahun, memperkuatkan skuad Schalke kendalian David Wagner setelah menjaringkan 127 gol dalam 340 penampilan Bundesliga untuk Hertha, Hoffenheim, Stuttgart dan Aachen.
Ibisevic berkata laporan bahawa dia hanya akan memperoleh 100,000 euro setahun di Schalke yang berhadapan kekurangan dana adalah “salah” tetapi menjelaskan mengapa dia masih mahu menyumbangkan gaji pokoknya, kemungkinan besar kepada badan amal di Gelsenkirchen.
“Jumlah yang dikatakan adalah salah, tetapi saya bercakap dengan ejen saya dan ingin membuat cerita yang bagus daripada semua ini,” kata Ibisevic kepada laman sesawang Schalke.
“Sudah tentu, Schalke berada dalam situasi kewangan yang sukar, tetapi itu tidak mengganggu saya kerana saya tidak berada di sini untuk mendapatkan wang, tetapi untuk bermain dalam Bundesliga.
“Oleh itu, kami bersetuju bahawa saya tidak akan mendapat gaji pokok, hanya yang saya perlukan untuk melindungi insurans, yang akan disumbangkan kepada badan amal dan saya akan bermain untuk bonus.”
Selepas peletakan jawatan bekas pengerusi jutawan mereka Clemens Toennies pada bulan Jun, Schalke mengakui memerlukan “simpanan besar-besaran” untuk bertahan.
Mereka memulakan musim Bundesliga baharu berdepan Bayern Munich pada 18 September.
Ibisevic telah menjelaskan motivasi utamanya untuk menyertai Royal Blues adalah untuk melanjutkan kariernya dalam Bundesliga.
“Schalke 04 adalah kelab yang sangat baik, anda tidak perlu berfikir dua kali untuk menyertai mereka,” desak Ibisevic, yang menjadi kapten Hertha musim lalu.
Schalke menamatkan musim lalu dalam prestasi yang menghampakan dengan 16 kekalahan berturut-turut.
Pada Sabtu, mereka meminjamkan pemain tengah AS, Weston McKennie, 22, salah seorang prospek paling cerah mereka, kepada Juventus dengan bayaran awal 4.5 juta euro. – AFP