
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memperkukuh sektor pembuatan negeri melalui dasar strategik yang menyokong pelaburan, pembangunan infrastruktur serta pewujudan persekitaran perniagaan yang menggalakkan inovasi, kerjasama dan daya saing industri tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sektor pembuatan memainkan peranan penting dalam mendorong transformasi ekonomi negeri seiring pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Acara seperti Majlis Makan Malam Anugerah dan Penyampaian SMA (SMA Dinner Awards & Ceremony) ini bukan sekadar mencerminkan kemajuan sektor pembuatan, tetapi menjadi bukti kepada ketahanan, inovasi dan semangat rakyat Sarawak yang terus memacu kemajuan negeri ke arah masa depan yang mampan,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian semasa Majlis Makan Malam Anugerah dan Penyampaian SMA yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, malam ini.
Beliau berkata, Sarawak kini berada dalam fasa penting transformasi ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui, inovasi digital dan pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi bagi mencapai matlamat menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Kita sedang memanfaatkan kekuatan yang dimiliki daripada tenaga hijau, inovasi digital hingga sumber asli dan bakat tempatan untuk menjadikan Sarawak peneraju serantau dalam industri bersih, teknologi hijau dan pembuatan berteknologi tinggi,” ujarnya.
Menurut beliau, dalam dunia yang bergerak pantas ke arah pendigitalan dan kelestarian, Sarawak perlu terus berinovasi, berani berubah dan meningkatkan keupayaan industri untuk kekal berdaya saing di peringkat global.
Beliau menegaskan bahawa usaha pengilang serta pemain industri dalam mengadaptasi teknologi moden, meningkatkan produktiviti dan menembusi pasaran antarabangsa akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan dasar yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang mesra pelabur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan secara mampan dan inklusif,” katanya.
Premier turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pengilang Sarawak (SMA) atas dedikasi mereka dalam menyokong pembangunan industri dan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negeri.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara kerajaan, industri dan komuniti. Bersama, kita sedang membentuk masa depan Sarawak yang progresif, makmur dan lestari, berpaksikan inovasi serta semangat perpaduan,” tambah beliau.
Oleh Shikin Mahmud & Amanda L