Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Landas Azam Kasihnya Warisan 3 ungguli Regata Sarawak 2025, dinobat Raja Sungai
  • SEMASA

Landas Azam Kasihnya Warisan 3 ungguli Regata Sarawak 2025, dinobat Raja Sungai

Utusan Sarawak 1 day ago
PASUKAN Landas Azam Kasihnya Warisan berjaya muncul Raja Sungai Regata Sarawak 2025 merakam kenangan bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj di Tebingan Sungai Kuching hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan 3 mengukir sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan dan dinobat sebagai Raja Sungai Regata Sarawak 2025 selepas mengatasi pesaing utama dalam perlumbaan penuh mendebarkan di Tebingan Sungai Kuching, hari ini.

Pasukan handalan itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 7 minit 13 saat, jauh meninggalkan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di tempat kedua dengan catatan 7 minit 17 saat, manakala Bedilku Seri Putih (Adidas) menamatkan saingan di tempat ketiga dengan masa 7 minit 18 saat.

Kemenangan bergaya itu membolehkan Landas Azam Kasihnya Warisan membawa pulang Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta wang tunai RM30,000, hadiah yang disampaikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan menyaksikan kemeriahan acara berprestij tersebut.

GIGIH… Pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan 3 mengukir sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan dan dinobat sebagai Raja Sungai Regata Sarawak 2025, hari ini. Foto UKAS

Sorakan bergema di sepanjang tebing sungai sebaik pasukan juara melintasi garisan penamat, menandakan kemuncak kepada perlumbaan penuh mendebarkan yang menyatukan semangat kesukanan dan warisan Bumi Kenyalang.

Turut memeriahkan acara bersejarah itu ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; serta barisan kenamaan negeri termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Edisi tahun ini menyaksikan persaingan amat sengit dengan jurang masa yang begitu rapat antara pasukan, mencerminkan peningkatan kecekapan dan disiplin tinggi dalam kalangan pendayung yang mewarnai regata paling berprestij di Sarawak itu.

Dalam kategori Perahu Bidar 30 Pendayung Lelaki (Terbuka) Piala Borneo International MTCP, pasukan Landas 5 turut mencuri tumpuan apabila menjuarai acara tersebut, diikuti Landas 1 di tempat kedua dan Sinaran EF Adison Sambas di tempat ketiga.

TERUJA… Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyaksikan kemeriahan acara berprestij Regata Sarawak 2025 di Tebingan Sungai Kuching hari ini. Foto UKAS

Sementara itu, bagi kategori Perahu Kenyalang 10 Pendayung Lelaki (Jemputan Kakitangan Jabatan/Agensi), BDA sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila muncul juara, diikuti Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) di tempat kedua dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak di tempat ketiga.

Acara VIP Terbuka Trofi Kenyalang 20 Pendayung Lelaki iaitu Piala Premier Sarawak pula menyaksikan pasukan DPRD Zulkarnain SP/PUSAKA menepati ramalan apabila muncul juara, diikuti Datuk Len Talip Salleh dan Datu Abdullah Julaihi/LANDAS di tempat kedua dan Dato Simoi Peri/KELISA di tempat ketiga.

Dengan penyertaan ratusan pendayung dari seluruh pelosok negeri, Regata Sarawak 2025 bukan sekadar perlumbaan, tetapi simbol perpaduan, warisan budaya sungai dan semangat juang rakyat Sarawak yang terus subur di arus kemodenan.

Oleh Norman B

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Aksi santai Premier Sarawak naik jet ski tarik perhatian penonton Regata Sarawak 2025
Next: Abang Johari dianugerah pingat The Order of the Rising Sun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.