
KUCHING: Deretan gerai yang dipenuhi hasil segar dan aroma herba memeriahkan pagi di pekarangan tempat letak kereta berbumbung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) apabila Pasar Tani Semula Jadi Kuching (KNFM) kembali menarik tumpuan ramai.

Menampilkan pelbagai produk tempatan dan organik, pasar tani ini mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang hadir untuk membeli-belah sambil menyokong gaya hidup sihat dan mesra alam.

Program berkonsepkan pertanian mampan itu dianjurkan bersama komuniti KNFM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berfokuskan alam sekitar, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bandar terhadap kepentingan penggunaan produk semula jadi dan amalan lestari.

Pelbagai jualan menarik ditawarkan, termasuk sayur-sayuran segar, buah-buahan tempatan, herba, madu asli, produk tenusu buatan sendiri serta makanan sihat tanpa bahan pengawet.
Tanaman hiasan dan pokok herba turut menjadi tarikan bagi pengunjung yang gemar berkebun.

Selain memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk, inisiatif ini juga berfungsi sebagai platform pendidikan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan dan kelestarian alam sekitar.