
MUKAH: Lelaki tempatan ditahan kerana memiliki dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan di simpang Kampung Jebungan, Jalan Mukah–Balingian, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia memiliki 0.46 gram dadah methamphetamine.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat hari ini.
Menurutnya lagi, operasi yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Mukah itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap 160 individu dan 130 kenderaan.
“Pihak AADK telah menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 27 individu dan tiga daripadanya didapati positif methamphetamine. Mereka yang berusia antara 26 hingga 40 tahun diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut,” katanya.
Selain itu, katanya sebanyak 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Oleh Tarani Lanting