
KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengiktiraf peranan media sebagai rakan komunikasi strategik kerajaan dalam menyampaikan maklumat serta agenda pembangunan negara kepada rakyat.
Pengiktirafan itu dizahirkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Amar Fadillah Yusof, ketika berucap pada Malam Media PETRA Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam ini.
“Malam ini bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi simbol komitmen PETRA untuk terus menjalin hubungan baik dengan pengamal media yang menjadi nadi penyampai maklumat kepada rakyat. Kita amat menghargai sokongan berterusan mereka kepada PETRA dan agensi di bawahnya,” ujarnya.

Beliau berkata, media sama ada cetak, elektronik mahupun atas talian memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat serta menjadi penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
Justeru, katanya, hubungan erat antara PETRA dan media perlu terus diperkukuh melalui sesi libat urus serta jaringan strategik berterusan.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa sebanyak 44 projek pembangunan bernilai RM5.995 bilion telah diluluskan di Sarawak di bawah Rancangan Pelaksanaan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), melibatkan 11 projek baharu dan 33 projek sambungan.
Bagi 2026, peruntukan RM195.6 juta disalurkan di bawah RP1 meningkat 53 peratus berbanding tahun sebelumnya merangkumi pelaksanaan projek tebatan banjir, pencegahan hakisan pantai, pemuliharaan sungai, bekalan air dan sistem pembetungan.
PETRA juga melaksanakan Program Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) dengan peruntukan RM2.525 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2030 untuk menggantikan paip kritikal dan memperkukuh pengurusan air.

Dalam sektor tenaga, beliau berkata PETRA komited mempercepat peralihan tenaga melalui projek tenaga solar berskala besar (LSS PETRA 5+) berkapasiti hampir 2,000 megawatt dengan pelaburan RM6 bilion, serta pelaksanaan program Solar Atap bagi menggantikan skim Net Energy Metering (NEM).
“PETRA dan media adalah dua komponen penting yang saling melengkapi iaitu satu melaksanakan dasar, satu lagi menyampaikan kepada rakyat. Jika hubungan ini terus diperkukuh, segala aspirasi pembangunan negara akan lebih mudah difahami dan diterima masyarakat,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri wakil media cetak, elektronik dan atas talian dari seluruh negeri serta pegawai kanan PETRA dan agensi berkaitan.
Oleh Norman B dan Adele Rissa