
KABONG: Impian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid Gerigat untuk memiliki bangunan sekolah baharu akhirnya menjadi kenyataan apabila projek pembangunan semula sekolah tersebut siap sepenuhnya, sekali gus membuka lembaran baharu pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa buat para murid serta guru.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata kejayaan menyiapkan bangunan baharu ini adalah bukti komitmen berterusan kerajaan Sarawak dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkukuh sektor pendidikan luar bandar.
“Syukur Alhamdulillah, impian warga SK Haji Junid Gerigat serta penduduk setempat akhirnya menjadi kenyataan.
“Dengan siapnya pembinaan bangunan baharu ini, para pelajar dan guru kini dapat menikmati suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sempena pembukaan bangunan baharu SK Haji Junid Gerigat, yang turut dihadiri isteri beliau, Datin Meryani Yassin, hari ini.
Menurut Chee Kadir, kejayaan projek tersebut yang siap tepat pada masanya turut membuktikan kesungguhan semua pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah Kabong dan Pejabat Pendidikan Daerah Saratok yang memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas dasar kerajaan negeri yang sentiasa menitikberatkan pembangunan pendidikan sebagai pemangkin kemajuan masyarakat luar bandar.

“Kerajaan Sarawak amat serius dalam membangunkan sektor pendidikan kerana hanya melalui pendidikan kita dapat mengatasi masalah kemiskinan, terutama di kawasan luar bandar,” tambahnya.
Beliau dalam masa sama menggesa warga sekolah agar sama-sama memikul tanggungjawab menjaga kemudahan yang telah disediakan supaya kekal dalam keadaan baik dan dapat dimanfaatkan untuk jangka masa panjang.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM7,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Haji Junid Gerigat bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti tahunan sekolah.
Majlis yang diadakan dalam suasana penuh kesyukuran itu turut disertai oleh guru-guru, ibubapa serta komuniti setempat yang hadir bagi mendoakan kesejahteraan dan kejayaan sekolah berkenaan.
Oleh Adi Safarman