
BINTULU: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) memainkan peranan penting dalam membantu menyalurkan bantuan kepada sekolah dan komuniti luar bandar yang memerlukan di Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pelaksanaan program itu bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat, malah turut meringankan beban wakil rakyat dalam menyediakan peruntukan bagi pembangunan kawasan luar bandar.
Beliau berkata, inisiatif tersebut menjadi bukti komitmen jabatan dan pihak industri dalam membantu kerajaan negeri mencapai pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang agar lebih banyak sekolah, kampung dan rumah panjang yang memerlukan turut menerima manfaat.
“CSR seperti ini banyak membantu kami sebagai wakil rakyat kerana bajet yang diperuntukkan untuk kawasan juga terhad.
“Di kawasan DUN Kakus sahaja terdapat lebih 400 rumah panjang, dua kampung dan satu pekan Tatau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Dana CSR JTS Bahagian Bintulu di Dewan Kampung Dagang, Tatau di sini, hari ini.
Menerusi program tersebut, sebanyak RM60,000 disalurkan kepada empat penerima melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Tayai dan SK Tatau yang masing-masing menerima RM20,000, manakala Kampung Dagang dan Kampung Baru masing-masing menerima RM10,000.
John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut menasihatkan penerima bantuan agar menggunakan dana yang disalurkan dengan sebaik-baiknya untuk aktiviti pembangunan sekolah serta kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Bintulu, Sr Haslinda Hamdan berkata, program CSR JTS diwujudkan sejak 1 Januari 2021 hasil sumbangan daripada syarikat-syarikat dalam industri perlombongan dan pengeluaran di bawah Tabung Dana Amanah CSR JTS Sarawak.
“Program ini selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Ia memastikan syarikat yang mengambil sumber semula jadi negeri turut menyumbang kembali kepada masyarakat,” ujarnya.
Haslinda turut merakamkan penghargaan kepada Magna Focus Sdn. Bhd. atas sumbangan dana yang menjayakan pelaksanaan CSR kali ini dan berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
Oleh Carolyne Utih