KAPIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat meneruskan program turun padang bertemu rakyat di Rumah Leyang, Ulu Semujan, Sungai Belawai.
Program antara lain bertujuan untuk menyampaikan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain senario politik terkini.
Jamit dalam ucapannya menjelaskan, Kerajaan GPS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberikan penekanan terhadap pembangunan dan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, usaha gigih itu jelas dilihat menerusi pelaksanaan projek membina jalan raya bagi menyediakan rangkaian perhubungan yang baik, selain membuka tanah untuk aktiviti sosio ekonomi penduduk setempat.
“Pembinaan jalan memberikan manfaat kepada penduduk setempat dan juga pemilik tanah untuk membuka aktiviti sosio ekonomi mereka.
“Selain itu, kerajaan GPS juga melaksanakan Projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) dan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS) kepada setiap rumah panjang di kawasan terpencil pendalaman,” ujarnya.
Katanya, Datuk Patinggi Abang Johari semasa lawatannya ke Kapit pada 27 April 2016 telah mengumumkan penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk mempercepatkan pembangunan di bahagian tersebut.
“Inilah sebahagian daripada politik pembangunan yang diamalkan oleh Kerajaan GPS demi untuk kesejahteraan rakyat.
“Semua rakyat di peringkat akar umbi harus memahami bahawa GPS berpegang pada prinsip Utamakan Sarawak, setiap tindakannya memberi manfaat kepada Sarawak,” tegasnya.
Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan GPS kerana memperuntukan dana bagi pembinaan jalan dari Nanga Belawai ke Ulu Belawai.
Pada program tersebut, Jamit telah merasmikan tapak pembinaan rumah panjang baharu Rumah Leyang.
Selain itu, beliau turut menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada lima buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sepanjang Sungai Belawai berjumlah RM31,000.
Turut hadir Timbalan Walikota Majlis Daerah Kapit, Watson Awan, Penghulu Pasang Tuba serta pemimpin lain.
Oleh Akun Giman