Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Lelaki serang isteri dan anak diperintah reman enam hari di Sibu
  • JENAYAH

Lelaki serang isteri dan anak diperintah reman enam hari di Sibu

Utusan Sarawak 13 hours ago
BERJAYA DITAHAN…..Suspek kes serang isteri di Jalan Permai Jaya, di Sibu awal pagi semalam, berjaya ditahan di Kanowit petang semalam.

SIBU: Seorang lelaki yang bertindak menyerang isteri dan anak perempuannya di rumah mereka di Jalan Permai Jaya pagi semalam, diperintah ditahan reman selama enam hari sehingga 5 November ini bagi membantu siasatan.

Majistret Oon Kork Chern mengeluarkan perintah itu selepas mendengar permohonan reman daripada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Hakimi Abd Azid di Zon Merah Hospital Sibu, hari ini.

Terdahulu pihak polis memohon tahanan reman selama tujuh hari terhadap suspek berusia 57 tahun yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Sibu, bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, semasa temubual polis sejurus lepas tangkapan dibuat, suspek mengadu ada minum racun lepas kejadian.

“Jadi polis terus hantar suspek ke hospital untuk rawatan. Reman dibuat di hospital di bawah jagaan pihak polis,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu, berdasarkan laporan sebelum ini, suspek ditahan polis di Kanowit sekitar 4.15 petang semalam, kurang 24 jam selepas dia disyaki menyerang isteri dan anak perempuannya di rumah mereka di Jalan Permai Jaya.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan semalam berkata, pihak polis masih mengenalpasti motif kejadian sebenar dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya. 

Terdahulu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian pergaduhan melibatkan kecederaan parah terhadap dua beranak pada 7 pagi.

“Laporan polis tersebut diterima melalui panggilan kecemasan MERS 999, yang dibuat oleh salah seorang mangsa yang memaklumkan bahawa dia dan ibunya telah ditetak menggunakan sebilah parang oleh ayahnya sendiri dan suspek telah melarikan diri sejurus selepas kejadian,” katanya.

Akibat serangan itu, isteri suspek berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu manakala anak perempuan mangsa berusia 20 tahun pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Susulan laporan diterima, satu pasukan Task Force telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan serta usaha mengesan suspek terbabit,” ujarnya.

Difahamkan, saringan air kencing terhadap suspek juga didapati positif Amphetamine.

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Lelaki ditahan disyaki cabul pekerja wanita di pekan Kanowit
Next: Ops Kesan: AADK Miri tahan 18 individu, jalani pemulihan di PUSPEN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.