
KUCHING: Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Abdul Aziz menegaskan bahawa organisasi itu kini menjadi peneraju utama dalam memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di Sarawak.
“Sarawak Skills kini bukan lagi nama asing dalam dunia latihan teknikal di negeri ini. Kami bukan sahaja menyediakan latihan untuk lepasan sekolah dan kursus jangka pendek, malah turut menganjurkan pelbagai program berskala besar seperti persidangan antarabangsa serta kerjasama latihan dengan institusi luar negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Hari Terbuka bersempena Karnival Inovasi TVET dan Majlis Konvokesyen Sarawak Skills ke-27 di sini hari ini.

Beliau berkata bahawa sejak penubuhannya, Sarawak Skills telah memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten, berdaya saing, dan memiliki nilai profesionalisme tinggi.
Beliau menambah bahawa kerjasama erat dengan agensi kerajaan serta industri tempatan dan antarabangsa menjadikan institusi itu sebagai model TVET yang dinamik dan relevan.
“Ramai graduan Sarawak Skills kini berkhidmat dalam sektor strategik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penganjuran program Hari Terbuka bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan bidang TVET kepada masyarakat, tetapi juga wadah mempererat hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta tanpa mengira bangsa, agama dan umur.

Beliau berharap agar penganjuran Hari Terbuka Sarawak Skills dapat diteruskan setiap tahun sebagai tradisi yang memberi manfaat kepada semua pihak, selaras dengan usaha kerajaan negeri menjadikan TVET sebagai salah satu pemacu utama pembangunan Sarawak.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan penganjuran kali ini yang disifatkan sebagai platform memperkukuh hubungan antara dunia pendidikan TVET dan industri.
“Majlis hari ini bukan sekadar acara sambutan atau pameran. Ia adalah simbol kejayaan, kreativiti dan semangat inovatif anak muda Sarawak dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Beliau berkata majlis itu bertujuan meraikan graduan, memupuk inovasi dalam kalangan pelajar TVET, mengukuhkan hubungan dengan industri, serta meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan TVET dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
Oleh Norman B