
KOTA SAMARAHAN: Seramai 36 murid Tabika KEMAS Taman Samarindah CD menyertai Program Lawatan Sambil Belajar ke Borneo Empurau Farm & Resort baru-baru ini, bagi memperkukuh kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman serta memupuk minat terhadap alam semula jadi sejak usia awal.
Rombongan turut disertai pendidik masyarakat, pembantu pendidik masyarakat serta ibu bapa. Mereka berlepas dari tabika berkenaan pada 7.30 pagi menaiki bas khas yang disediakan.
Sepanjang program, peserta berpeluang meninjau pelbagai spesies ikan, haiwan ternakan, dan tanaman yang menjadi tarikan utama di ladang berkenaan, selain didedahkan kepada proses penternakan serta penjagaan ikan air tawar.
Aktiviti interaktif turut dilaksanakan bagi menerapkan nilai kepentingan penjagaan alam sekitar serta kelestarian sumber semula jadi dalam kalangan murid.

Menurut kenyataan penganjur, program sehari itu memberi nilai tambah terhadap pendekatan pembelajaran murid melalui pengalaman langsung di lapangan selain mengukuhkan hubungan erat antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan baharu kepada murid mengenai dunia luar bilik darjah, malah turut mencerminkan komitmen KEMAS dalam memperkukuh sistem pendidikan awal kanak-kanak melalui pendekatan holistik yang menggabungkan aspek akademik, sosial dan nilai murni,” katanya.
Program berlangsung dalam suasana ceria dan penuh bermakna dengan sambutan serta sokongan padu daripada keluarga murid.