

KUCHING: Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2025 (SIDBR 2025) menutup tirainya dengan penuh gemilang apabila pasukan handalan dari dalam dan luar negara berentap hebat dalam perlumbaan akhir pelbagai kategori di Sungai Sarawak, Tebingan Kuching, hari ini.
Dalam DB12 Premier Women Final, Rogue Philippines Paddlers Club dari Filipina mencatat masa terpantas 1 minit 34.781 saat untuk dinobatkan sebagai juara. Pacific West Dragon Boat Club menamatkan saingan di tempat kedua dengan 1:35.849 saat, manakala Kuching Dragon Boat Club di tempat ketiga dengan catatan 1:39.388 saat.
Kategori DB12 Master’s Open Final menyaksikan Pacific West Dragon Boat Club muncul juara dengan masa terpantas 1:21.227 saat, mengatasi Landas A (1:21.278 saat) dan Pasukan Lela Cheteria (1:24.512 saat).


Dalam DB12 Premier Mix Grand Final, kehebatan KDB Indonesia A terserlah apabila mereka mencatat masa terpantas 1:20.549 saat untuk meraih kejuaraan, diikuti Pacific West Dragon Club (1:22.138 saat) dan Rogue Philippines Paddlers Boat Club (1:23.991 saat)
Aksi tumpuan DB12 Premier Open Grand Final menampilkan kehebatan Azam Ku Dragon A yang mencatat masa terpantas keseluruhan kejohanan, 1:15.426 saat, untuk menewaskan Almaty Dragons dari Kazakhstan (1:15.478 saat) dan NTB Darussalam dari Brunei Darussalam (1:15.786 saat).
Dalam DBI2 Premier Open Final, Azam Ku Dragon A sekali lagi mendominasi dengan masa terpantas hari ini, 1:11.114 saat, diikuti Azam Ku Dragon B (1:11.216 saat) dan KTDB/DBKL A (1:12.446 saat).
Kejohanan antarabangsa tahunan itu menutup tirainya dengan penuh warna-warni, memperlihatkan keunggulan pasukan tempatan dan antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab utama sukan air bertaraf dunia di rantau ini.
Oleh Shikin Mahmud & Adele Rissa