
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri sehingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan amaran itu melibatkan negeri di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dikeluarkan yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta di Sabah dan Sarawak sehingga 7.00 malam ini.
Menurut MetMalaysia, situasi berkenaan dijangka melanda kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun di Terengganu serta Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Temerloh di Pahang.
Selain itu, di Negeri Sembilan melibatkan kawasan di Jelebu, Seremban dan Port Dickson.
Di Sarawak pula melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang serta Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau, Sandakan dan Kudat di Sabah.
-Bernama