
KANOWIT: Lelaki berusia 26 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Junical Ujal berkata, suspek ditahan sekitar 12.00 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kanowit selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadapnya.
“Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis Benzodiazepine (Benzo),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata semakan rekod lampau mendapati suspek pernah mempunyai dua rekod kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 masing-masing pada 2020 dan 2023.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu sejak 2020,” katanya.

Menurutnya, rakaman percakapan suspek telah diambil, manakala cap jari dan gambar turut direkodkan bagi tujuan siasatan.
Barang kes berupa botol urin dihantar ke Jabatan Kimia Sibu untuk analisis lanjut.
“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kanowit dan dijangka dituduh secara tentatif di Mahkamah Sibu hari ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Oleh Tarani Lanting