
KHARTOUM: Sudan pada Rabu mengumumkan pembukaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum bagi penerbangan domestik, menamatkan penggantungan operasi selama hampir dua tahun setengah, meskipun kemudahan itu baru-baru ini menjadi sasaran serangan dron, lapor Agensi Berita Xinhua.
“Sebuah pesawat Badr Airlines telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum, menandakan pembukaan semula lapangan terbang itu dan penyambungan semula operasi udara dari ibu negara selepas sekian lama terhenti,” menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan, Penerangan dan Pelancongan Sudan.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, pihak pengurusan lapangan terbang menyifatkan penyambungan semula operasi itu sebagai “langkah penting dalam proses pemulihan sektor penerbangan Sudan, sekali gus membuka laluan bagi pemulihan berperingkat trafik udara pada masa akan datang.”
Lapangan terbang yang terletak di tengah Khartoum itu dilaporkan diserang dron pada Selasa dan sekali lagi pada pagi Rabu.
Terdahulu, pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan oada Rabu itu.
Kemudahan itu merupakan antara sasaran pertama RSF ketika perang tercetus pada 15 April 2023 dan mengalami kerosakan teruk pada peringkat awal konflik.
Sejak itu, pihak berkuasa berusaha memulihkan lapangan terbang berkenaan selepas tentera Sudan berjaya menawan semula keseluruhan negeri Khartoum pada Mei lalu.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Port Sudan di timur negara itu kekal menjadi hab utama bagi penerbangan antarabangsa, manakala beberapa lapangan terbang tempatan masih beroperasi secara terhad.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, RSF dilaporkan meningkatkan serangan dron terhadap kedudukan tentera serta infrastruktur penting di kawasan yang dikuasai Angkatan Tentera Sudan (SAF).
Sudan kini terus dilanda konflik antara SAF dan RSF yang bermula sejak April 2023, mengorbankan puluhan ribu nyawa serta memaksa jutaan penduduk meninggalkan kediaman, sekali gus memburukkan krisis kemanusiaan di negara itu.- Bernama-Xinhua