
BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan polis dalam operasi Ops Tapis di Bintangor selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong sekitar 2.10 petang, semalam.
“Lelaki tersebut (suspek) ditahan semasa operasi dijalankan dan dibawa ke IPD Meradong untuk siasatan lanjut.
“Saringan ujian air kencing di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” tegasnya.
Tansli turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan seumpama itu.
“Pihak IPD Meradong menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 bagi membantu usaha membanteras kegiatan dadah di Daerah Meradong,” katanya.
Oleh Earl Anek