
SARATOK: Surau Kampung Pagan terus menikmati limpahan pembangunan apabila disenaraikan menerima peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun ini berjumlah RM100,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok sebagai agensi pelaksana dengan majlis serah tapak diadakan baru-baru ini.
Menurut beliau, kontraktor bagi projek naik taraf itu telah dilantik melalui proses cabut undi yang dikendalikan oleh Pejabat Residen Bahagian Betong bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam pelaksanaan projek.
“Surau Kampung Pagan telah melalui beberapa fasa pembinaan sebelum ini di bawah peruntukan RTP. Kini, bangunan surau ini sudahpun siap dan digunakan sepenuhnya oleh penduduk untuk beribadah,” katanya.

Tambah Mohamad Duri, projek-projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dilaksanakan secara berperingkat menggunakan dana RTP memandangkan kos pembinaan yang besar dan melibatkan pelbagai kemudahan asas.
“Kaedah ini terbukti berkesan kerana kita dapat melihat hasilnya seperti siapnya surau ini yang kini menjadi pusat ibadah utama bagi masyarakat Kampung Pagan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, peruntukan tambahan kali ini akan digunakan untuk menaik taraf beberapa kemudahan lain termasuk membina tempat parkir motosikal, menutup parit dengan konkrit, serta membina sengkuap bagi tempat mengambil wuduk.
“Melalui penambahbaikan ini, kita berharap jemaah akan lebih selesa untuk beribadah dan surau ini akan terus menjadi pusat aktiviti komuniti yang harmoni,” jelasnya.
Oleh Adi Safarman