Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kent Boxing Club ungguli di Karnival Tinju Sibu, raih 12 pingat keseluruhan
  • SUKAN

Kent Boxing Club ungguli di Karnival Tinju Sibu, raih 12 pingat keseluruhan

Utusan Sarawak 12 hours ago
CEMERLANG…Kennedy (berdiri kiri), Luke (berdiri kanan) serta jurulatih yang lain merakamkan kenangan bersama petinju KBC yang meraih pingat masing-masing semasa Karnival Tinju Sibu.

SIBU: Kelab Tinju Kent Boxing Club (KBC) dari Kanowit terus menampilkan prestasi cemerlang apabila mencatat kejayaan berganda dalam Karnival Tinju Sibu yang berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober lalu di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC).

Dalam kejohanan anjuran Joe Akademi of Boxing Club (JAB) itu, KBC muncul sebagai antara pasukan paling menyerlah setelah membawa pulang 12 pingat keseluruhan iaitu lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Lebih membanggakan, salah seorang wakilnya, Betty Juing, dinobatkan sebagai Petinju Wanita Terbaik selepas menjuarai Kategori Junior Wanita (Bawah 17 Tahun), sekali gus mengharumkan nama Kanowit di pentas tinju peringkat negeri.

Selain Betty, empat lagi petinju KBC turut menyerlah apabila masing-masing menyumbang pingat emas melalui kategori umur dan berat berbeza, termasuk Christian Bale dan Darwisy Fidelis (Bakat Petinju Bawah 12 Tahun), Muhammad Daniq (Bakat Bawah 15 Tahun) serta Dexfin Samio (Junior Lelaki Bawah 17 Tahun).

Tiga pingat perak KBC pula disumbangkan oleh Alfonso Mathew, Teo Hudson dan Augustine Dimas, manakala gangsa diraih oleh Shem Janang, Selestian Saka serta Merdeka Tingang.

Ketua Jurulatih merangkap Pengurus KBC, Kennedy Edwin, melahirkan rasa bangga atas kejayaan anak didiknya dan menyifatkannya sebagai hasil latihan berstruktur serta dedikasi tinggi para petinju.

“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan sistem latihan kami, namun ia baru permulaan. Fokus kami kini ialah melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi seperti SUKSAR, SUKMA dan Sukan SEA,” katanya.

Beliau turut mengajak ibu bapa di sekitar Kanowit agar lebih terbuka menyokong penglibatan anak-anak dalam sukan tinju yang masih kurang mendapat perhatian di luar bandar.

Sementara itu, jurulatih bersama KBC, Luke Casmir Tugang, berkata kejayaan kali ini menjadi dorongan kepada semua petinju untuk terus berusaha gigih dan mengekalkan disiplin tinggi dalam latihan.

Pihak KBC turut merakamkan penghargaan kepada JAB Sibu atas penganjuran kejohanan yang tersusun serta semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan peserta.

Karnival tersebut berperanan sebagai platform yang signifikan dalam mencungkil dan menyerlahkan bakat baharu, terutamanya dari kawasan luar bandar seperti Kanowit.

Oleh Tarani Lanting

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Berbasikal Trek Para Dunia: Mohamad Yusof jaguh pecut 200 meter

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.