
SIBU: Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Sarawak menyambut baik langkah kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM250 kepada semua veteran tentera menerusi Belanjawan 2026 yang dibentangkan baru-baru ini.
Timbalan Presiden PVTLDM Sarawak, Hussain Abdul Rani berkata, bantuan tersebut amat bermakna kepada lebih 200 veteran TLDM di negeri ini, khususnya dalam meringankan beban kos sara hidup dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun hadapan.
“Bantuan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan veteran tentera dan merupakan pengiktirafan atas jasa serta pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas perhatian yang diberikan,” katanya kepada media selepas pertemuan dengan Senator Robert Lau Hui Chew di sini, semalam.
Menurut Hussain, pihaknya menasihatkan semua penerima supaya berbelanja secara berhemah agar manfaat bantuan tersebut dapat dicapai seperti yang dihasratkan kerajaan.
Dalam pertemuan berkenaan, Robert turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM2,000 daripada peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Kerajaan Persekutuan kepada PVTLDM Sarawak bagi membantu menampung keperluan kewangan penganjuran aktiviti persatuan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober lalu mengumumkan BKK sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 15 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, manakala pesara kerajaan serta veteran berpencen dan tidak berpencen akan menerima RM250 yang dijadualkan dibayar pada awal Mac 2026.
Sementara itu, Hussain berkata PVTLDM Sarawak turut mencatat sejarah apabila dijemput menghadiri Hari Peringatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2025 anjuran Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA) di Tugu Negara, Kuala Lumpur pada 21 September lepas.
Beliau menambah, persatuan itu juga akan menghadiri upacara tahunan memperingati perajurit terkorban anjuran Persatuan Veteran Keselamatan Pulau Pinang pada 15 November depan.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew dan Naib Presiden PVTLDM Sarawak, Mohd Rahmat Abdullah.
Oleh Tarani Lanting