
KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang baharu, Dato Sri John Sikie Tayai mahu semua ahli parti itu bergerak sebagai satu pasukan.
Katanya, ini penting selepas selesainya pemilihan pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Ke-6 PRS yang berakhir di sini hari ini.
“Kita benar-benar mengamalkan demokrasi. Semua jawatan, termasuk presiden, telah dipertandingkan. Kini selepas pemilihan selesai, kita mesti Perpaduan amat penting untuk kita terus maju,” katanya.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak itu berkata demikian selepas diumumkan sebagai Presiden PRS yang baharu.
John Sikie menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan ahli parti serta tumpuan terhadap pembangunan luar bandar
Katanya, ia akan kekal menjadi teras utama perjuangan PRS dalam penggal kepimpinannya bagi sesi 2025–2028.

“PRS sentiasa mengamalkan semangat demokrasi tulen apabila semua jawatan termasuk presiden dipertandingkan, sekali gus mencerminkan keterbukaan dan kematangan politik dalam parti tersebut,” katanya.
Menurutnya, PRS akan terus bekerjasama rapat dengan Premier Sarawak dan rakan-rakan komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperkukuh agenda pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Premier kita mempunyai visi yang jelas untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030, atau selewat-lewatnya 2035. PRS akan terus menyokong visi itu dan memainkan peranan mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, capaian internet dan kemudahan pendidikan, khususnya sekolah-sekolah daif di pedalaman.
“Masih banyak sekolah lama dan kurang selesa di kawasan luar bandar. Kita berharap kerajaan akan memberi perhatian terhadap keperluan ini,” katanya
Selain itu, John Sikie berkata PRS juga komited membantu kerajaan negeri mencapai sasaran pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan menjelang 2030, sebagaimana yang digariskan Premier Sarawak.
“Untuk mencapainya, kita mesti meningkatkan ekonomi luar bandar melalui pembangunan tanah dan pelbagai program ekonomi baharu. Dengan perancangan yang rapi, saya yakin matlamat ini boleh dicapai,” katanya.
Persidangan PRS hari ini turut menyaksikan pembubaran Majlis Tertinggi sesi 2022–2025 dan pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2025–2028.
Oleh Shikin Mahmud dan Shahrul Qaizat