
SIBU: Seramai 45 guru sekolah rendah dan menengah berjaya menamatkan Kursus Sijil Kejurulatihan Atletik Dunia Tahap 1 – Hibrid yang berakhir di Stadium Tertutup Sibu, baru-baru ini.
Kursus selama lima hari bermula 13 Oktober itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Olahraga Amatur Bahagian Sibu (SDAAA) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Setiausaha SDAAA, Ting Siew Nguong berkata, kursus berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran jurulatih tempatan selain memberi pendedahan kepada trend terkini dalam bidang kejurulatihan olahraga.
“Program ini juga memberi peluang kepada peserta memperoleh sijil yang diiktiraf oleh World Athletics sekali gus diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan kursus itu.
Beliau menjelaskan, kursus berkenaan terdiri daripada dua bahagian iaitu pembelajaran dalam talian dan sesi bersemuka. Peserta perlu melengkapkan modul atas talian sebelum layak mengikuti sesi latihan praktikal di lapangan.

Kursus itu dikendalikan oleh pensyarah bertauliah World Athletics, Roselyn Japson Hamero dari Filipina, Abang Sapani Sarbini dari Sekolah Sukan Terengganu dan jurulatih SSC, Lim Teck Leong.
Sementara itu, SDAAA turut mengadakan Majlis Makan Malam Penghargaan bagi meraikan penaja, pegawai dan peserta kursus di sebuah hotel di sini pada malam yang sama.
Turut hadir Presiden SDAAA, Dr Gregory Hii serta Kaunselor Kevin Lau Kor Jie. Oleh Tarani Lanting