
LIMBANG: Ibubapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak dan menjadi pendamping mereka sepanjang masa bagi mengelakkan mereka terjebak dalam masalah sosial, khususnya yang berlaku di sekolah.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata ibu bapa sebagai penjaga utama anak-anak memikul tanggungjawab untuk mendidik, membimbing serta memastikan anak-anak celik teknologi secara bijak dan beretika.
Menurut Ahli Parlimen Limbang itu, perkara ini amat penting agar ibubapa dapat mengenal pasti dan menangani sebarang gangguan atau kesan negatif yang berpunca daripada penggunaan media sosial.
“Kita sebagai ibubapa bukan sahaja bertanggungjawab memenuhi keperluan anak-anak seperti makan, minum dan kelengkapan sekolah, tetapi juga perlu menjadi sumber kasih sayang dan pendamping emosi mereka.
“Kita mesti mendengar luahan, permasalahan, kerisauan dan kesunyian anak-anak, terutama dalam suasana dunia yang semakin mencabar pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Sukan Negara dan Hari Kesihatan Mental Sedunia sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Limbang 2025 yang berlangsung di Dewan Suarah Limbang, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang Rynnille Elsther Peter serta tetamu kenamaan lain.
Hasbi turut menegaskan bahawa terdapat segelintir anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang dan memendam perasaan, lalu meluahkan kesunyian mereka melalui media sosial tanpa sebarang kawalan.
Katanya, perhatian dan kasih sayang daripada ibubapa amat penting agar anak-anak tidak merasa tersisih dan membawa haluan sendiri.
Jelasnya, bimbingan serta didikan agama yang kukuh juga perlu diterapkan untuk membentuk sahsiah dan jati diri yang baik.
Dalam ucapannya, Hasbi turut menyentuh kepentingan sambutan Hari Sukan Negara, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan ANMS yang menurutnya berkongsi matlamat sama iaitu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup sihat, aktif dan cergas.
“Sukan, kesihatan mental dan tingkah laku kesihatan merupakan elemen asas dalam menjadikan individu lebih sihat secara menyeluruh,” katanya.
Oleh Adeng Edrus