Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • PRS: Saingan rebut jawatan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda jadi tumpuan
  • SEMASA

PRS: Saingan rebut jawatan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda jadi tumpuan

Utusan Sarawak 14 hours ago
Dato Sri John Sikie Tayai 
Wilson Nyabong Ijang
Senator Rita Sarimah Patrick Insol 
Roy Angau Gingkoi
Nicholas Kudi Jantai 
Kennedy Chuk Pai 

PRS: Saingan rebut jawatan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda jadi tumpuan

KUCHING: Jawatan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) antara Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang menarik tumpuan. 

Perwakilan ke Persidangan Tiga Tahun Sekali Ke-6 parti itu, akan mengundi esok, bagi memilih pengganti Dato Sri Joseph Salang Gandum yang mengundur diri.

Salang, 74, pernah menjadi Ahli Parlimen Julau sejak 1999 tetapi tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Dato Majang Renggi mengekalkan jawatan Timbalan Presiden selepas Timbalan Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan menarik diri baru-baru ini atas dasar demi perpaduan parti.

Sementara itu, lima jawatan Naib Presiden bakal menjadi rebutan tujuh calon, termasuk empat penyandang — Dato Sri Aaron Ago Dagang, Datuk Liwan Lagang, Datuk Mong Dagang dan Datuk Wilson Ugak Kumbong — manakala calon baharu terdiri daripada Senator Rita Sarimah Patrick Insol, Roy Angau Gingkoi dan Nicholas Kudi Jantai.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan 15 jawatan Ahli Majlis Tertinggi dipertandingkan oleh 33 calon, termasuk empat wanita — jumlah tertinggi dalam sejarah parti.

Bagi sayap Wanita pula, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie kekal menerajuinya bagi penggal 2025–2028 selepas menang tanpa bertanding pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Ke-6 parti itu di sini, hari ini.

Jawatan Naib Ketua Wanita disandang Agnes Undil dan Donna Petrus Ngelai, manakala Misiah Abdullah dilantik sebagai Setiausaha, Gawai Enggong sebagai Bendahari dan Jenny Crystal Mansang sebagai Ketua Penerangan.

Bagi sayap Pemuda PRS, jawatan Ketua menyaksikan pertandingan antara ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang, dan ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon. 

Timbalan Ketua Pemuda, Surai Anthony Abell, kekal tanpa bertanding, manakala dua kerusi Naib Ketua Pemuda turut diisi tanpa pengundian selepas seorang calon menarik diri.

Sementara itu, Joseph Salang berkata, kemenangan tanpa saingan beberapa jawatan dalam PRS mencerminkan perpaduan kukuh dan komitmen berterusan dalam kalangan kepimpinan parti seperti sayap Wanita.

“Kesemua calon utama sayap Wanita dipilih tanpa pengundian, menunjukkan semangat kerjasama erat dan kesatuan dalam memperjuangkan matlamat parti,” katanya ketika berucap pada persidangan berkenaan yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau juga menegaskan bahawa PRS sentiasa menitikberatkan kesaksamaan gender dan telah melahirkan ramai pemimpin wanita di pelbagai peringkat termasuk Parlimen, Dewan Negara dan agensi kerajaan.

“PRS berhasrat melihat sekurang-kurangnya seorang wakil wanita dipilih ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang, di samping memastikan penyertaan seimbang dalam majlis tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau turut menyeru lebih ramai golongan muda berpendidikan dan profesional untuk menyertai parti bagi memperkukuh barisan kepimpinan masa depan, selaras dengan visi Sarawak menuju ekonomi digital dan lestari.

PRS adalah parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), kini mempunyai 11 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan lima di Dewan Rakyat.

Oleh ADELE RISSA 

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Isu telefon pintar, antara disiplin dan keperluan pelajar
Next: Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 semarak pelancongan domestik di Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.