
MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah menganjurkan Mesyuarat Pengurusan Bil.4/2025 yang berlangsung selama dua hari, bermula Khamis lepas hingga semalam di salah sebuah hotel di sini.
Mesyuarat ini mencerminkan keutuhan kepimpinan dan komitmen JPJ Sarawak dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta memperkukuh peranan jabatan sebagai agensi penguat kuasa utama di bawah Kementerian Pengangkutan.
Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili dalam ucapannya menegaskan kepentingan semangat kerjasama dan komunikasi berkesan antara semua lapisan pengurusan dalam memastikan setiap agenda jabatan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan komitmen tinggi.

Beliau turut menggesa agar warga JPJ Sarawak mengekalkan kecemerlangan kerja serta terus berinovasi dalam menghadapi cabaran semasa perkhidmatan awam.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak menerusi Facebook, penganjuran mesyuarat ini bertujuan menilai pencapaian semasa jabatan, memperkukuh strategi pelaksanaan dasar serta memperhalusi perancangan kerja bagi tahun semasa dan akan datang.
Ia juga menjadi platform penting bagi perbincangan, perkongsian pandangan dan penyelarasan hala tuju ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berintegriti.
Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Nor Azlan Ibrahim.
Oleh Adum Liu