
SARATOK: Program Karnival Sukan dan Kokurikulum Tingkatan Enam peringkat Sarawak 2025 disifatkan sebagai wadah penting dalam mempersiapkan generasi muda dari segi ketahanan fizikal, mental dan emosi bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penganjuran karnival seumpama ini bukan hanya medan pertandingan, tetapi turut menjadi platform melahirkan pelajar yang bersemangat, berdisiplin dan berjati diri tinggi.

“Jadikanlah karnival ini sebagai salah satu wadah secara langsung dalam menyediakan pelajar kita dari segi pertahanan fizikal, mental dan emosi bagi menghadapi belenggu yang mendatang,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dataran Ilmu, Kolej Tingkatan Enam Saratok, hari ini.
Beliau menegaskan, pendidikan masa kini tidak boleh dinilai dari aspek akademik semata-mata, sebaliknya memerlukan pengukuran holistik yang merangkumi kokurikulum, sahsiah dan disiplin bagi melahirkan insan berkualiti yang mampu bersaing di persada global.
“Karnival seperti ini mampu menyemai semangat perpaduan dan membentuk jati diri sejagat dalam diri anak-anak kita. Mereka adalah jantung yang akan menentukan hala tuju negara pada masa depan,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited memperkukuh pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar agar mereka bergerak seiring dengan cabaran era globalisasi.
“Pelbagai usaha telah dijalankan untuk memastikan anak-anak luar bandar tidak ketinggalan. Komitmen ini akan diteruskan dengan memberi perhatian terhadap isu pendidikan sebagai agenda utama negara,” tambahnya.
Beliau turut menggesa agar kerjasama erat antara sekolah dan komuniti diperkukuh kerana proses membentuk generasi berjaya tidak harus terhenti di sekolah semata-mata.
“Rumah ialah sekolah sepanjang hayat anak-anak kita. Oleh itu, jalinan antara sekolah dan komuniti harus berjalan seiring,” katanya.

Dalam ucapan itu juga, beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta dan pemenang pertandingan sambil menzahirkan keyakinan bahawa anak luar bandar juga mampu mencipta kejayaan cemerlang.
“Tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Buktikan bahawa anak luar bandar juga mampu menempa kejayaan. Teruskan usaha dan jangan berhenti menggali potensi diri,” tegasnya.
Beliau turut menghargai peranan guru dan warga pendidik yang disifatkan sebagai pemegang amanah penting dalam membentuk masa depan negara.
“Anda adalah pemegang amanah dalam usaha mencorak masa depan anak-anak kita. Lakukan yang terbaik agar terus memberi impak bermakna dalam usaha murni ini,” katanya.
Karnival Sukan dan Kokurikulum Tingkatan Enam ini menyaksikan penyertaan pelajar dari seluruh negeri, dengan pelbagai acara sukan dan aktiviti kokurikulum dijalankan bagi memupuk semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan dalam kalangan pelajar.
Oleh Adi Safarman