KUCHING: Nasib yang menimpa seorang pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong yang menghidapi penyakit kanser darah (leukemia) mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.
Semalam Alumni SK Abang Leman Kabong, Semawi Mohd mewakili Pengerusi Alumni SK Abang Leman Kabong, Olen Tabor tampil menyampaikan sumbangan kepada Nor Mala Jamali bagi meringankan beban ditanggung untuk perbelanjaan perubatan dan pembedahan di Hospital Umum Sarawak.
Semawi turut meminta ibu pelajar itu agar banyak bersabar dan menguatkan semangat untuk anak beliau sembuh.
“Pihak kita difahamkan, pelajar ini baharu sahaja menamatkan rawatan kimoterapi dan diberi rehat selama dua hari sebelum dirujuk ke Hospital Pakar di Kuala Lumpur.
“Saya mewakili Alumni SK Abang Leman Kabong berdoa semoga pelajar itu sembuh seperti sedia kala, dan juga berharap ibu beliau terus bersabar menghadapi dugaan ini,” katanya.
Semawi berkata sumbangan wang tunai itu adalah hasil daripada derma kilat ahli-ahli jawatankuasa Alumni, bagi menampung serta meringankan beban kewangan keluarga pelajar itu untuk kos perubatan, membeli barang keperluan dan sebagainya.
“Semoga sumbangan kecil itu, akan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung keluarganya dan seterusnya mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman