
KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 guru diumumkan sebagai finalis Malaysia Teacher Prize (MTP) 2025 yang bertujuan mengiktiraf guru yang menginspirasi dan memimpin perubahan dalam pendidikan.
Organisasi bukan berasaskan keuntungan PEMIMPIN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemenang utama dan lima finalis teratas akan diumumkan pada Sidang Kemuncak MTP di sebuah hotel di Damansara yang berlangsung dua hari bermula 8 Nov.
Pengarah Eksekutif PEMIMPIN dan pengasas bersama MTP Samuel Isaiah berkata lebih 2,300 guru dari seluruh negara menyahut cabaran menyertai pertandingan berprestij itu, sekali gus membuktikan semangat, daya tahan dan inovasi luar biasa dalam kalangan guru Malaysia.
“Finalis yang terpilih tahun ini membuktikan guru mampu membawa perubahan besar bukan sahaja kepada murid mereka, tetapi juga komuniti dan masa depan negara,” katanya menerusi kenyataan sama.
Finalis berkenaan ialah Zizi’Azniza Mohd dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Terengganu, Muhammad Suffi Yusof (Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM, Perak), Viknesvari Letchumanan (Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura Kulai, Johor) dan Ching Yun Ming (Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chee Tong, Johor).
Turut terpilih Zulazri Yusof (SMK Sultanah Asma, Kedah), Minh Chjiat Isabelle Wong (SMK Dato Jaafar, Johor), Yew Ko Woo (SMK Methodist Sibu, Sarawak), Dhiya Safina Mohd Bazir (SK Oran, Perlis), Rosmawati Hussin (SK Cheneh Baru, Terengganu) dan Siti Ainulmursyida Shamsudin (SMK Orkid Desa, Kuala Lumpur).
MTP yang memasuki tahun keempat menawarkan hadiah RM50,000 kepada pemenang utama dan masing-masing RM5,000 kepada lima finalis teratas manakala 10 finalis menerima RM1,000.
Penganjuran MTP disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Varkey Foundation serta penaja seperti YTL Foundation, Yayasan Hasanah, Kementerian Kewangan dan ECM Libra Foundation.
PEMIMPIN memaklumkan Sidang Kemuncak MTP dengan tema “Selangkah Bersama, Mencorak Masa Depan,” membolehkan peserta mengikuti sesi ucaptama dan bengkel interaktif, meneroka idea baharu melalui Makmal Dasar serta membina jaringan profesional dengan lebih 800 pendidik dari seluruh negara.
Mereka berminat meraikan 10 finalis MTP 2025 boleh mendapatkan tiket menerusi Ticket2u. atau layari https://www.malaysiateacherprize.org untuk maklumat lanjut.
-Bernama