MIRI : Kerajaan Negeri melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) amat komited di dalam usaha memelihara dan memulihara hidupan marin untuk mewujudkan keseimbangan ekosistem, selain menjaga khazanah negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, pelbagai program pembersihan di kawasan terumbu telah dijalankan secara berterusan dengan kerjasama daripada pelbagai agensi saban tahun.
“Kali ini, SFC menganjurkan program pembersihan Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti dengan kawasan pembersihan diadakan di kawasan “Siwa Reef” yang merupakan salah satu tempat terumbu karang yang indah di perairan Sarawak.
“Terumbu Karang Miri-Sibuti kebanyakannya terdapat di pesisir pantai yang kini kian terdedah kepada ancaman manusia seperti kewujudan pukat tunda dan pukat hantu yang tersangkut di dasar lautan serta sampah sarap yang dibuang ke dalam laut.
“Progam ini diharap dapat memperbaiki kualiti habitat hidupan marin dan sekali gus meningkatkan tahap kebersihan laut di kawasan terumbu karang berkenaan,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Pembersihan Terumbu Karang Miri-Sibuti di Jeti Marina di sini, semalam.
Program itu dianjurkan oleh SFC bersempena Hari Kebangsaan Ke-63 tahun, manakala program pemuliharaan eko-marin ini dijayakan dengan kerjasama daripada syarikat Petronas.
Zolkipli berkata, Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti dengan keluasan perairan 186,930 hektar telah diwartakan pada 28 Februari 2007.
Katanya, pihaknya ingin mempromosi Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti hidupan laut kepada penduduk tempatan dan antarabangsa.
“Untuk perancangan masa depan, industri pelancongan berasaskan persekitaran laut adalah berpotensi tinggi sebagaimana yang telah dilakukan di negeri-negeri lain di Malaysia.
“Seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, Sarawak akan mewujudkan kawasan selaman skuba dan sukan memancing untuk aktiviti eko-pelancongan,” katanya.
Selain SFC, seramai 40 penyelam terlibat dalam program tersebut yang terdiri daripada agensi-agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Northern Sarawak Journalist Association (NSJA) dan Petronas.
Selain itu, turut menyertai program ini ialah Future Ocean Borneo, Miri Divers, Sarawak Tourism Board (STB), Kenyalang Underwater Services, Dive@ Borneo, Piasau Boat Blub, Majestic Leisure dan Jabatan Perikanan.
Oleh Liong Chai Ling