SIMANGGANG: Sarawak tetap berpegang kepada semangat federalisme yang tinggi walaupun tidak pernah berhenti memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata semangat federalisme itu perlu dipertahan atas keperluan untuk berada di bawah payung sebuah negara yang lebih besar demi keselamatan dan kedaulatan negeri ini.
Katanya, konsep federalisme bukan tidak ada kebaikannya dan banyak negara maju juga ditadbir berasaskan konsep itu dengan beberapa keistimewaan serta hak tertentu untuk negeri-negeri seperti kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
“Lagi pun Sarawak mempunyai hak dan keistimewaan dalam Perlembagaan yang seharusnya dimanfaat bagi mengangkat kemajuan ekonomi negeri.
“Oleh itu hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) perlulah dihormati dan dilaksana dengan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman di sini semalam.
Abang Johari juga memberitahu Kerajaan Sarawak telah membantu mewujudkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil apabila berlakunya kemelut politik negara pada Februari lepas.
“Kemelut politik di Putrajaya pada Februari lepas menyebabkan negara berada dalam keadaan terumbang-ambing tanpa kerajaan (yang sebelum itu ditadbir oleh Pakatan Harapan).
“Justeru demi semangat kebangsaan dan kepentingan negara yang kita dukung, Kerajaan Sarawak menyelesai masalah tersebut dengan membantu membentuk sebuah Kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata beliau.
Ketua Menteri turut menambah Kerajaan Sarawak akan terus mempastikan kebajikan rakyat di negeri ini terbela dalam keadaan situasi semasa yang tidak menentu akibat kesan penularan wabak Covid-19.
“Ia terbukti apabila sebanyak RM2.55 billion diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan tiga pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang tidak termasuk bantuan yang lain,” kata beliau.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut hadir Menteri Utiliti, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pembangunan dan Perindustrian, Datuk Malcom Mussen Lamoh, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang dan ADUN Lingga, Simoi Peri.
Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib diberi penghormatan untuk melakukan upacara pelepasan peserta Unity Walk sambil ditemani oleh Ketua Menteri pada majlis berkenaan.
Oleh Valentine Ngumbang