
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bakal menganjurkan Sambutan Hari Alumni Unimas 2025 bagi meraikan para alumni universiti itu.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Seksyen Perhubungan Alumni Unimas, Dr Zuraini Seruji, Program berkenaan menjadi platform pertemuan semula alumni dari pelbagai generasi bagi memperkukuh hubungan dengan alma mater, selain menghargai sumbangan serta kejayaan mereka dalam pelbagai bidang.
Sambutan tahun ini menampilkan dua sub-program utama. Sub-program pertama, Serambi Perdana Alumni Unimas 2025, dijadual berlangsung pada 31 Oktober ini di Raia Hotel.
Program berkenaan bakal menampilkan enam pengisian utama termasuk perkongsian aspirasi alumni, pelancaran pelbagai inisiatif baharu, serta pengumuman pemenang Pertandingan Video Nostalgia Alumni.

Sementara itu, sub-program kedua, Larian Alumni Pulang Ke Kampus & Brisk Walk 2025, akan diadakan pada 1 November depan, di Kampung Barat, Unimas.
Bertemakan ‘Alumni Penggerak Transformasi Universiti,’ sambutan itu menekankan peranan alumni sebagai rakan strategik universiti dalam membawa perubahan dan kemajuan bersama.
Dalam pada itu, Unimas menggesa semua warga universiti dan alumni untuk hadir serta bersama menjayakan Sambutan Hari Alumni Unimas 2025 sebagai tanda sokongan terhadap jalinan berterusan antara alumni dan universiti.
Oleh Masrin Affirah