Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Mahkamah benar Lim Guan Eng dapatkan pasport secara kekal
  • MAHKAMAH

Mahkamah benar Lim Guan Eng dapatkan pasport secara kekal

Utusan Sarawak 5 days ago
BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambung bicara kes berhubung projek terowong dasar laut yang dihadapi beliau. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Lim Guan Eng untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal kerana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dikehendaki ke luar negara dengan kerap atas tugasan rasmi.

Hakim Azura Alwi berkata bagaimanapun, syarat jaminan itu digantikan dengan arahan bahawa Lim perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai manakala jumlah ikat jamin sebanyak RM1 juta dikekalkan.

Terdahulu, peguam Mohd Haijan Omar memaklumkan bahawa Lim telah dilantik sebagai seorang daripada Pengerusi Kehormat ASEAN-China bagi Pemerkasaan Kerjasama dan Pembangunan Perindustrian (ACAPICD).

“Sebagai seorang daripada Pengerusi Kehormat ACAPICD, pemohon dikehendaki pergi ke luar negara dengan kerap untuk menghadiri mesyuarat, konvensyen atau pameran antarabangsa. 

“Pemohon memohon pasport secara kekal bukan untuk bercuti tetapi untuk tujuan rasmi bagi mewakili Kerajaan Malaysia dan tanpa kehadiran beliau, tiada orang lain boleh hadir atas kapasiti pemohon… sekiranya pemohon kerap membuat permohonan pasport, ia akan meremehkan dan memalukan tertuduh,” katanya.

 Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin pula membantah permohonan itu atas alasan mahkamah perlu mengambil kira faktor keseriusan dan hukuman yang diperuntuk oleh undang-undang bagi kesalahan dihadapi Lim selain peluang yang wujud untuk tertuduh melarikan diri.

“Pemohon mempunyai peluang untuk mengganggu saksi-saksi pendakwaan dengan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik yang berpengaruh… oleh sebab itu, satu jumlah jaminan yang tinggi dengan syarat-syarat ketat sepertimana dicadangkan adalah penting untuk memberi peringatan kepada tertuduh agar tidak cenderung ke arah melakukannya,” kata beliau.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2.00 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.- Bernama

Continue Reading

Previous: Suspek tikam pelajar ditahan reman tujuh hari
Next: Pesara tentera berdepan 12 pertuduhan salah guna wang RM405,121

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.