

MIRI: Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong berjaya menangkap seekor anak ular spesies Rusuk Kerbau yang ditemui di dalam stor Tadika Masjid Al-Naim Lutong di sini, hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.12 pagi daripada seorang guru tadika yang memaklumkan terdapat seekor ular di dalam stor.
Katanya, pasukan seramai lima anggota digerakkan ke lokasi sejauh sekitar tujuh kilometer.
“Pemeriksaan awal dilakukan namun ular tidak dijumpai. Setelah memastikan keadaan selamat, pasukan kembali ke balai,” katanya.
Bagaimanapun, katanya pada 1.08 tengah hari, pihak bomba dihubungi semula oleh pelapor yang memaklumkan ular berkenaan muncul semula di lokasi sama.
“Pasukan segera ke lokasi dan berjaya menangkap seekor anak ular spesies Rusuk Kerbau sebelum dilepaskan semula ke kawasan hutan berhampiran bagi memastikan keselamatan penghuni tadika,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling