

MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri telah menganjurkan program ‘Retreat Pembinaan Pasukan & Budaya Kerja Cemerlang’ selama dua hari di salah sebuah hotel di sini kelmarin.
Program yang disempurnakan oleh Jurutera Bahagian, Ir. Stephen Ung Neng Hui itu disertai seramai 100 kakitangan JKR daripada pelbagai jawatan dan gred dalam usaha memperkukuh semangat kerja berpasukan serta membudayakan nilai kerja cemerlang dalam organisasi
Menurut kenyataan JKR Sarawak, antara pengisian utama program ialah sesi interaktif dan aktiviti berkumpulan yang dikendalikan oleh fasilitator jemputan iaitu Telemachus Lo.

“Aktiviti tersebut memberi penekanan kepada nilai-nilai utama Perkhidmatan Awam Sarawak (Sarawak Civil Service – SCS) seperti Integriti, Baik Hati dan Prihatin, Profesionalisme, Sikap Kesegeraan dan Semangat Sepunya, Semangat Berpasukan dan Berorientasikan Hasil.
“Selain itu, peserta turut diterapkan dengan elemen komunikasi berkesan, kepimpinan serta motivasi bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam kalangan warga jabatan,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, penganjuran program ini diharapkan dapat menyemai budaya kerja yang positif serta mempertingkatkan komitmen warga JKR Bahagian Miri ke arah kecemerlangan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, katanya lagi.
Oleh Adum Liu