



ROBAN: Sebelum siapnya projek jalan masuk ke Rumah Panjang Augustine, Empayak, penduduk di kawasan tersebut terpaksa menggunakan perahu untuk menyeberangi Sungai Sebelak menuju ke rumah panjang mereka.
Kesukaran itu kini berakhir apabila projek jalan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka berjaya disiapkan dan memberi kemudahan yang amat diperlukan oleh masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, keperluan asas rakyat di kawasan luar bandar sentiasa menjadi keutamaan beliau bagi memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
“Pembinaan jalan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah membuka peluang untuk meningkatkan taraf ekonomi serta memperkukuh hubungan sosial antara komuniti,” katanya ketika lawatan tapak ke kawasan cadangan tapak baharu Rumah Panjang Augustine, Empayak, Roban, dekat sini kelmarin.
Hadir sama Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas, Kaunselor Kasdi Pandi, serta wakil Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), dan pemimpin tempatan turut mengadakan lawatan tapak ke kawasan cadangan baharu bagi Rumah Panjang Augustine, Empayak, Roban.
Lawatan berkenaan turut disertai Penghulu Bundan Belatok, Penghulu Kampung Sessang Kamaluddin Rambli serta wakil Pusat Khidmat ADUN Kalaka sebagai tanda komitmen bersama dalam memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian.
Sebelum lawatan ke tapak baharu, sesi randau telah diadakan bersama penduduk Rumah Panjang Augustine bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mereka terhadap pembangunan di kawasan berkenaan.
Mohamad Duri menegaskan, kerajaan negeri melalui inisiatif pembangunan luar bandar akan terus menyalurkan pelbagai projek prasarana bagi memastikan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan yang lebih baik serta seiring dengan matlamat pembangunan Sarawak menjelan 2030.
Oleh ADI SAFARMAN