JURGEN Klopp berkata ‘tiada peluang’ untuk Liverpool menandatangani Lionel Messi namun pengendali Jerman itu mengakui kehadiran bintang Barcelona itu akan merancakkan lagi saingan Liga Perdana Inggeris.
Messi menyatakan hasrat untuk meninggalkan gergasi Sepanyol itu selepas kecewa dengan masalah yang dihadapi kelab itu di dalam mahupun di luar padang.
Penyerang Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City, di mana dia akan dapat bergandingan dengan bekas pengendali Barca, Pep Guardiola.
Paris Saint-Germain, Inter Milan dan Juventus juga disebut-sebut menyatakan minat untuk menadatangani Messi jika dia berhasrat untuk meninggalkan dari Camp Nou.
Klopp mendedahkan dia mahu memiliki pemain itu tetapi berpendapat Messi tidak akan ke Anfield.
“Berminat? Siapa yang tidak mahukan Messi dalam pasukan mereka? Tetapi mungkin tidak untuk Liverpool,” kata bekas pengendali Borussia Dortmund itu.
Liverpool menamatkan saingan Liga perdana,18 mata di hadapan City yang berada di kedudukan kedua musim lalu ketika mereka memenangi gelaran tersebut buat pertama kalinya sejak 1990.
Klopp memberi amaran peluang Liverpool untuk mengekalkan gelaran berdepan ancaman serius jika Manchester City berjaya mendapatkan Lionel Messi.
City hampir mencapai persetujuan terma bayaran £1.4 juta seminggu (RM7.79 juta) dengan superstar Barcelona itu termasuk gaji, yuran, bonus, hak imej dan masih berpeluang membawanya keluar dari Camp Nou.
Namum bekas pengendali Borussia Dortmund itu percaya akan terdapat perebutan gelaran kejuaraan dalam kancah bola sepak Inggeris dengan kehadiran antara pemain terbaik dunia itu dalam Liga Perdana Inggeris.
“Ini jelas akan membantu Manchester City dan menjadikannya lebih sukar untuk mengalahkan mereka,” kata Klopp.
“Untuk Liga Perdana Inggeris,ia pasti hebat, tetapi saya tidak pasti Liga Perdana memerlukan peningkatan itu.
“Pemain yang baik, jujur! Menarik juga untuk dilihat. Messi tidak pernah bermain di liga lain, selain dari Sepanyol.
“Sebenarnya, saya ingin melihatnya tetapi saya tidak pasti akan melakukannya.” -AFP