
SIBU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti di Jalan Sibu–Tanjung Manis, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian berlaku sekitar 9.30 malam, dan mangsa yang berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Sibu menghala ke Tanjung Manis. Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikalnya dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di tengah jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, susulan daripada laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Lucy Ronald Jubang di talian 014-965 2109 atau menghubungi Balai Polis Trafik Sibu di talian 084-338529 bagi membantu siasatan.
Oleh Akun Giman