OSLO: CHINA terus mempertahankan pendirian bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan Covid-19 bermula di negara republik itu.
Menteri Luar Wang Yi menegaskan, isu melibatkan virus itu tidak sepatutnya dipolitikkan dan tidak seharusnya ada stigma terhadap China.
Malah, kata Wang pada Khamis, China merupakan negara pertama yang melaporkan kejadian jangkitan Covid-19 kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Namun, kajian yang lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan dari mana virus itu berasal.
“China adalah negara pertama yang membuat laporan kepada WHO dan negara-negara lain mengenai kemunculan virus itu. Ia tidak bermakna virus itu berasal dari China.
“Dan, sebenarnya, sejak beberapa bulan lalu, kami telah memperoleh laporan dan maklumat baru yang menunjukkan virus itu muncul di negara lain, dan kebanyakannya berlaku lebih awal dari China,” katanya.
Beliau berkata demikian di Oslo, semasa lawatannya ke Norway, sempena siri jelajahnya ke lima negara Eropah termasuk Perancis, Jerman dan Belanda.
Tegas beliau, kajian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan negara asal yang membawa wabak berkenaan.
“Jadi, di mana virus itu bermula dan bagaimana ia bermula? Semuanya adalah tentang sains. Ia sepatutnya diserahkan kepada saintis dan pakar perubatan untuk mengendalikan kajian. Ia tidak sepatutnya dipolitikkan atau dijadikan stigma,” tambahnya lagi.
Tambah Yi lagi, hubungan China-Norway akan terus ditingkatkan pasca Covid-19.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump lantang mengkritik China dengan bertegas menggelar koronavirus itu sebagai Virus China kerana mendakwa ia berasal dari sebuah makmal yang dibangunkan di negara republik itu.-AFP